PUTRAJAYA – Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung portfolio jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelantikan jawatan menteri merupakan hak prerogatif Perdana Menteri dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“I think we better don’t speculate, dont put pressure on PM (Saya fikir kita jangan terlalu berspekulasi, jangan letak tekanan kepada Perdana Menteri), lantikan itu adalah prerogatif PM dan perkenan Agong.
“Kalau kita speculate dan bercakap lebih banyak, lagi lambat PM isi tempat ini. Jadi, better don’t speculate and we just wait (lebih baik kita jangan berspekulasi dan kita hanya tunggu).
“Cuma apa pun memang ada keperluan untuk mengisi jawatan menteri KPDN,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung di kementeriannya, di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai kekosongan jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Sebelum ini, terdapat ura-ura yang mengatakan Ahli Parlimen daripada Amanah, Suhaizan Kayat sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Bagaimanapun, terdapat laporan dua Ahli Parlimen daripada Amanah disebut-sebut sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan menteri KPDN.
Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan dan seorang lagi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan yang juga ‘orang kepercayaan’ Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 18,000 undi. – MalaysiaGazette
















