Aksi pelumba Gresini Racing MotoGP™,Alex Marquez dan Gresini Racing, Fabio Di Giannantonio pada sesi Latihan Bebas 1 perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 NOVEMBER

SEPANG – Pelumba MotoGP Gresini Racing, Alex Marquez muncul juara perlumbaan pecut yang buat pertama kalinya diadakan pada Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.

Marquez yang bermula dari petak keempat, menampilkan tunggangan baik untuk mengejar kumpulan hadapan dan mula mendahului pada pusingan keenam, sebelum menamatkan perlumbaan dalam masa 19 minit 58.713 saat (s).

Ini merupakan kejayaan kedua pelumba Sepanyol itu dalam perlumbaan pecut, selepas memenanginya di GP British, Ogos lepas.

Pelumba berusia 27 tahun ini melintasi garisan penamat 1.589s di hadapan pelumba Prima Pramac Racing Jorge Martin di tempat kedua, manakala pendahului kejuaraan tahun ini Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo yang bermula di petak hadapan, hanya mencatatkan 20:01.747s di tempat ketiga.

Bagnaia atau lebih dikenali sebagai ‘Pecco’, mendahului mata kejuaraan dengan 396 mata diikuti Martin (385 mata) manakala Marquez dengan 129 mata di tempat ke-11.

Bagaimanapun, Bagnaia masih boleh menebus kekecewaannya dalam perlumbaan pecut hari ini, selepas beliau akan bermula dari petak hadapan untuk perlumbaan penuh esok, selepas mencatatkan masa terpantas sepusingan sesi kelayakan kedua dengan masa 1:57.491, yang juga merupakan rekod baharu sepusingan di Sepang.

Perlumbaan pecut diperkenalkan buat pertama kalinya pada kelas premier tahun ini, dengan jumlah pusingannya hanya separuh daripada perlumbaan penuh, esok.

Ia juga memberikan mata kejuaraan yang akan diberikan secara asing daripada perlumbaan penuh dengan 12 mata untuk pemenang dan mata sehingga sembilan pelumba terbaik. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast