GAZA CITY – Israel meneruskan siri penafiannya berhubung kematian lebih 5,000 bayi dan kanak-kanak Palestin selepas regim Zionis itu mengebom tanpa henti di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Dalam satu temubual Penasihat Perdana Menteri Israel Mark Regev cuba mencadangkan bahawa kanak-kanak yang terbunuh mungkin telah mati dengan cara lain dan bukan serangan Israel
Regev turut mendakwa angka kematian tersebut dikeluarkan oleh Hamas dan berpandangan jumlah kematian tidak sebegitu besar.
“Anda tidak tahu berapa ramai daripada mereka adalah Hamas dan berapa ramai orang awam. Hamas mahu anda percaya bahawa mereka semua orang awam, bahawa mereka semua kanak-kanak.
“Hamas… telah mengawal Semenanjung Gaza, dan akibatnya, mereka mengawal semua imej yang keluar dari Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara Khamis dengan stesyen MSNBC yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Untuk rekod angka kematian secara rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat dan dikuasai oleh Fatah.
Regev turut ditanya mengenai maklumat salah dikeluarkan tentera Israel yang menunjukkan kalendar Arab sebagai nama pengganas yang mengawal Hospital Al-Shifa.
“Saya tidak tahu bahasa Arab … saya membuat kesilapan, anda membuat kesilapan. Tetapi ada perbezaan antara membuat kesilapan yang jujur dan antara Hamas yang sengaja membesar-besarkan angka untuk disesuaikan dengan tujuan propagandanya,” kata beliau.
Sehingga semalam 12,300 orang maut dalam serangan Israel termasuk 3,300 wanita, 200 anggota perubatan, 22 anggota pertahanan awam dan 56 wartawan.-Agensi
















