RTM juga gagal melunaskan gaji pekerja pada tahun lepas dan perkara itu juga dilaporkan dalam media.
KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) gagal membayar gaji pekerja kontrak sekali lagi dengan sesetengah mereka mengalami tunggakan dua hingga tiga bulan.

China Press melaporkan, pekerja berkenaan turut diminta menandatangani surat persetujuan tunggakan gaji dan kegagalan mereka menandatangani surat itu akan menyebabkan pembayaran gaji mereka tidak diutamakan.

Surat itu bertujuan mendapat persetujuan pekerja bahawa gaji mereka untuk Disember 2016 dan Januari 2017 akan dibayar selepas 1 Februari 2017.

RTM juga gagal melunaskan gaji pekerja pada tahun lepas dan perkara itu juga dilaporkan dalam media.

Pekerja RTM terdiri daripada tiga kategori iaitu penjawat awam, pekerja kontrak dan pekerja sambilan.

Pekerja yang gagal menerima gaji ialah pekerja kontrak dari segmen televisyen dan radio. Masalah itu tidak berlaku dalam kalangan penjawat awam yang berstatus tetap.

“Sesetengah pekerja telah mengajukan persoalan kepada bahagian akaun, tetapi bahagian itu juga tidak berdaya lakukan apa-apa.

“Keadaan ini menimbulkan pertanyaan sama ada gaji pekerja kontrak telah dijadikan sebagai bonus untuk pekerja tetap,” kata seorang pekerja RTM.

Menurutnya lagi, sehingga 60 peratus pekerja kontrak termasuk wartawan televisyen, jurukamera, pengacara, penyunting dan pembaca berita mengalami tunggakan gaji.

“Sesetengah pekerja terpaksa bekerja sebagai pemandu GrabCar selepas waktu kerja,” katanya.