Sebuah papan tanda menunjukkan arah kiblat pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Pengundi Islam digesa jangan mengundi mana-mana calon yang menolak Rang Undang-Undang (RUU355) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai hukuman terhadap tindakan mereka yang enggan menegakkan syiar Islam.

Gesaan itu dinyatakan Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahya yang  mengatakan menjadi tanggungjawab bagi mana-mana ahli parlimen untuk menegakkan undang-undang Islam ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati.

“Ada ratusan ribu pengundi kamu disini. Mana-mana ahli parlimen yang tentang usul ini kita pastikan dalam PRU nanti kita turunkan mereka,” kata Aminuddin dalam ucapan malam ini di depan kira-kira 50,000 peserta Himpunan RUU355 anjuran Pas di Padang Merbok.

Aminuddin dalam ucapannya juga menyelar kumpulan liberal dan sekular yang terdiri daripada umat Islam yang menentang RUU dan menyifatkan mereka sebagai penganut Islam yang haprak.

“Golongan liberal dan sekular kata ini tak boleh halang, ini hak asasi manusia.

“Kebebasan kepala hotak mereka,” kata beliau lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dikecam Aminuddin kerana cuba menghalang RUU355 walhal ia bukan urusan bukan Islam untuk mencampurinya.

“Orang Pulau Pinang di sini balik beritahu Ketua Menteri kamu (Guan Eng), RUU ini tidak ada kena mengena dengan bukan Islam dan sudah beratus kali diberitahu,” katanya lagi.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan tren anak tak sah taraf yang dilahirkan saban tahun meningkat dan tidak dapat dibendung.

Himpunan RUU355 hari ini dianjurkan Pas dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU.

RUU pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden Pas, Hadi bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan lebih banyak kuasa.

Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini. – MalaysiaGazette