KUALA LUMPUR – Selepas bermain teka-teki selama berbulan-bulan mengenai kerjasama Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhirnya terjawab sudah selepas Presiden Pas meletakkan titik noktah dalam hubungan kedua-dua parti itu hari ini.

Justeru, rakyat tertanya-tanya parti mana yang untung dan mana yang rugi dengan keputusan itu, hendak-hendak pula dalam suasana pilihan raya umum sudah semakin hampir kini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali menyambut baik keputusan yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkannya tepat memandangkan PPBM sudah tidak lagi berminat untuk berunding dengan mereka dengan bersetuju menyertai Pakatan Harapan.

“Kita memang sudah ada persetujuan asas iaitu mana-mana pihak yang berkawan atau pun berada sepentas menyerang Pas maka kami tidak ada sebarang kerjasama dengan mereka.

“Jadi kalau PPBM dah buat keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) bererti mereka tak minat lagilah nak berbincang dengan kita, jadi betullah keputusan presiden,” kata Khairuddin kepada Malaysia Gazette petang tadi.

Khairuddin berkata, Pas tidak rugi dengan keputusan tersebut bahkan mendakwa bukan Pas yang memerlukan PPBM tetapi sebaliknya jika PPBM mahu memenangi pilihan raya umum kelak.

“PPBM baru keluar dan ditubuhkan, Pas sudah bersedia dengan penyokong-penyokong kami sejak tahun 1981 lagi.

“Pas bukan parti baharu dan kami menyasarkan pengundi dan kerusi majoritinya orang Melayu, jadi Pas tidak perlu bimbang dengan keadaan itu, PPBM yang perlukan Pas bukan Pas yang perlukan PPBM,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPBM sebenarnya hanya memberi nilai tambah kepada perpecahan dalaman UMNO dan tidak ada kena mengena dengan Pas.

Dalam pada itu, aktivis parti PPBM, Shahbudin Husin pula berkata, Pas kini tidak lagi signifikan kepada rakyat dan pengundi pasti akan memilih PH sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

“Pas akan rugi sebab orang akan lihat PH adalah alternatif kepada BN. Pilihan pengundi sama ada BN atau PH, tak mungkin pengundi akan pilih Pas sebab dengan 70 kerusi Pas nak tanding mereka sebenarnya tidak boleh buat apa-apa pun,” katanya kepada MalaysiaGazette petang tadi.

Dalam pada itu, Shahbudin menaruh keyakinan pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menyebabkan sokongan terhadap Pas akan terhakis khususnya di Terengganu dan Kelantan.

“Kali ini ‘tsunami Mahathir’, Pas yang akan teruk terjejas. Lihat sahaja dua program Tun M di Kelantan dan Terengganu, walaupun tanpa sokongan Pas masih tetap puluhan ribu orang ramai hadir ke ceramah Tun M untuk mendengar syarahannya,” katanya lagi.

Kata Shahbudin lagi, berdasarkan daripada rekod terdahulu, Pas tidak pernah cemerlang dalam menghadapi pilihan raya umum apabila mereka bertanding bersendirian.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik, Prof. Dr. Shamsul Adabi menganggap kewujudan PPBM sebenarnya masih tidak menyakinkan rakyat yang mereka mampu mentadbir negara.

Malah, katanya, momentum PPBM bagi meraih sokongan rakyat juga masih kurang walaupun mereka cuba menggunakan sentimen perpecahan dalam UMNO sebagai modal politik.

“PPBM dapat mengekspresikan kelemahan perpecahan dalam UMNO dan ia menjadi nilai tambah kepada PH tapi nilai tambah tersebut tidak meyakinkan rakyat apabila pembangkang mempunyai perpecahan dalaman yang lebih kritikal,” ujarnya.

Bagi Shamsul, UMNO hanya mempunyai masalah daripada segi isu tetapi jika dibandingkan dengan pembangkang yang mempunyai masalah perpecahan dalaman, ia lebih parah.

“Masalah isu akan berlalu mengikut peredaran masa namun perpecahan ini mengambil masa untuk meyakinkan rakyat semula,” katanya. – MalaysiaGazette