Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,

PETALING JAYA – Walaupun sudah dilaksanakan selama dua tahun sejak April 2015, tetapi ramai peniaga masih tidak memahami cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Orang ramai pula dikatakan belum membiasakan diri dengan GST.

Data Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menunjukkan kira-kira satu perempat peniaga masih tidak dapat memahami GST secara sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T. Subromaniam berkata kepada Sinchew Daily, ramai peniaga juga tidak mendapatkan bantuan apabila berdepan kemusykilan sehingga sudah terlambat apabila dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Untuk mengelak dikena tindakan, Subromaniam berkata, peniaga harus menguasai GST secara sepenuhnya dan pihak JKDM juga akan terus memperkasa program pendidikan untuk membantu peniaga.

Katanya lagi, JKDM bersedia memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang mempunyai kemusykilan.

Bagi mereka yang terkurang mengisytiharkan cukai secara tidak sengaja, JKDM juga akan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan kompaun.

Pakar kewangan, L. L. Kong pula berkata, ramai peniaga masih dibayangi dengan GST dan melihat cukai itu menjejaskan perniagaan mereka.

“Kesan GST (ke atas perniagaan) masih ada. Walaupun tidak dapat dibuktikan sebagai satu-satunya faktor, tetapi ia adalah salah satu faktor,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Lim Sue Goan dalam satu rencana analisis berkata, rakyat secara amnya masih tidak dapat membiasakan diri dengan GST dan mengeluh gaji mereka tidak dapat mengejar kos hidup yang melonjak.

“Perhitungan kerajaan Barisan Nasional ialah perbendaharaan negara akan mempunyai hasil lebihan dan rakyat akan membiasakan diri selepas dua tahun pelaksanaan GST, yakni masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

“Tetapi perhitungan manusia tidak menjadi, rakyat masih tidak dapat membiasakan diri sepenuhnya dengan GST,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa kenaikan harga barang tidak disumbangkan sepenuhnya oleh GST tetapi turut didorong oleh faktor lain seperti pengurangan subsidi, kelemahan ringgit dan kenaikan harga sewa. – MalaysiaGazette