Muhyiddin Yassin (kanan) menjawab soalan wartawan mengenai pelantikan Rina Mohd Harun sebagai Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada sidang media di Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 5 APRIL 2017.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan secara rasmi pelantikan barisan kepimpinan sayap Srikandi Malaysia (Srikandi) yang akan mengemudikan ahli wanita parti itu di seluruh negara.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan itu berkata, Srikandi PPBM akan diketuai Rina Mohd Harun iaitu seorang ahli perniagaan.

Katanya, pelantikan Rina adalah berdasarkan kebijaksanaannya memberi idea bagaimana untuk parti ini meneruskan perjuangan merampas negara daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Rina Mohd Harun pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 05 APRIL 2017
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Rina Mohd Harun pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 05 APRIL 2017

Jelas beliau, pelantikan itu membuktikan PPBM tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme kerana sebahagian besar ahli jawatankuasa yang dipilih dan dilantik adalah berdasarkan pengalaman mereka dalam politik, selain mempunyai kepakaran dalam pengurusan organisasi.

“Saya berpuas hati dengan barisan kepimpinan Srikandi Malaysia ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional muda, ahli perniagaan dan mempunyai pengalaman dalam bidang politik.

“Saya yakin dengan kepimpinan ini akan menguatkan lagi PPBM terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Penerangan, Datuk Kamaruddin Md. Noor.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengumumkan pelantikan 20 Ahli Jawatankuasa dan tujuh Ketua Penaja Negeri Sayap Srikandi yang turut mengangkat sumpah di hadapannya hari ini.

Berikut senarai barisan kepimpinan Srikandi PPBM Malaysia;

Rina (Ketua Srikandi), Shamsilah Siru (Timbalan Ketua), Hasnita Hishamudin (Penolong Setiausaha), Azlinda Abdul Latif (Penolong Bendahari) dan Roseniza Muamad (Ketua Penerangan).

Ahli Jawatankuasa pula ialah Rahani Hasan, Zuraini Kamal, Nilakesumawati Yahya, Zulaiha Ahmad Sidek, Dr. Mastura Mohamad Darby, Junaidah Kiting, Datin Sharifah Salmah Syed Agil.

Turut dilantikan ialah Farah Shazrina Yahya, Zuhuraina Makmur, Rozila Abdul Raif, Fatin Fariza Abdul Halim, Norshashaeme Samsudin, Faridah Jemali, Norul Azreen Sazali dan Nor Aina Zakaria.

Tujuh Ketua Penaja Srikandi Negeri ialah Baridah Che Nayan (Perlis), Halimaton Shaadiah Saad (Kedah), Marshidaliza Marzuki (Pulau Pinang), Noridah Abdullah (Selangor), Azalina Abdul Rahman (Melaka), Norliza Ngadiran (Johor) dan Zuliana Mohamed (Pahang).

Sementara itu, Rina ketika ditemui, mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan kepimpinan PPBM Pusat atas kepercayaan melantiknya untuk menerajui barisan Srikandi Malaysia.

Kata beliau, matlamat perjuangannya ialah sebagaimana yang diterjemahkan oleh kepimpinan sedia ada. – MalaysiaGazette