Sebahagian ahli Pas yang membuat protes di hadapan pejabat akhbar Nanyang Siang Pau di Jalan Maju, Taman Maju Jaya di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pas Johor hari ini menyerahkan memorandum yang mengandungi penerangan mengenai Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) kepada pejabat akhbar Nanyang Siang Pau Cawangan Johor Bahru di sini.

Memorandum yang turut mengandungi penerangan mengapa rang undang-undang itu perlu dipinda selain apa kaitannya dengan orang bukan Islam diserahkan kepada Pengurus pejabat itu, Lee Hoon Tiong.

Ia diserahkan selepas protes selama setangah jam bermula pukul 10.30 pagi oleh lebih 30 ahli Pas negeri ini di hadapan pejabat berkenaan dengan memegang kertas tertera ‘RUU 355 Hak Muslim’ dan ‘Jangan Fitnah’.

Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, protes itu juga menuntut akhbar terlibat bersikap adil dan neutral dalam melaporkan sebarang berita.

“Kami mahu mengingatkan akhbar Nanyang Siang Pau dan akhbar lain supaya berfungsi sebagai ejen menerang dan menyalurkan maklumat sahih serta tepat dan bukan sebagai alat propaganda jahat yang boleh menyebabkan rakyat dalam keadaan huru-hara,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun akhbar itu sudah memohon maaf dan mereka menerima permohonan maaf itu, namun pada masa sama, mereka mahu orang bukan Islam memahmi dengan betul bahawa RUU 355 itu tidak dikenakan ke atas bukan Islam. – MalaysiaGazette.