Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Nexus, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata akar umbi Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai tetap mahukan beliau dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.

Perkara itu disampaikan akar umbi BN Lembah Pantai kepadanya ketika mengadakan lawatan turun padang di setiap bahagian di Lembah Pantai baru-baru ini.

“Mereka nak saya teruskan perjuangan di Lembah Pantai dan pengundi pun mahu saya dicalonkan semula.

“Saya tawarkan diri sebagai calon sebab perjuangan yang belum selesai. Sebab dulu saya gagal peroleh kerusi Lembah Pantai. Malah saya dapat sokongan daripada akar umbi, mereka nak saya dicalonkan,” katanya kepada media selepas hadir dalam mesyuarat UMNO Bahagian Lembah Pantai hari ini.

Malah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai itu turut berkata, BN harus bersedia untuk menghadapi persepsi pengundi yang berubah-ubah mengikut keperluan semasa PRU.

Maka dengan itu, BN Lembah Pantai harus cerdik dalam menangani segala perubahan sikap pengundi demi memenangi kerusi berkenaan.

“Memang satu cabaran yang rumit mengenai persepsi pengundi. Pengundi bandar ini banyak buat keputusan di saat-saat akhir.

“Apa yang berlaku kadang kala di saat akhir boleh berubah sekelip mata. Ini berlaku pada PRU-13 dimana pengundi nampak saya boleh menang tapi berlaku sebaliknya. Itu lebih kepada persepsi pengundi.

“Dalam bandar ini berbeza sikit persepsi pengundi. Kita tidak boleh kawal perubahan pengundi tapi kali ini saya nampak media sosial daripada kerajaan lebih baik daripada dulu. Tapi adakah kita akan menang peperangan media sosial ini, kita akan lihat nanti,” katanya.

Desas-desus sebelum ini kuat mengatakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak akan bertanding di Lembah Pantai malah akan beralih kerusi.

Nurul Izzah dikatakan akan bertanding di kerusi Permatang Pauh kerana bimbang dengan kejutan bakal diterima di PRU-14 ekoran jarang nampak di kawasan dan mendengar masalah rakyat.

“Apapun (desas-desus mengenai Nurul Izzah) kita akan teruskan juga walaupun khabar angin Nurul Izzah tidak bertanding di Lembah Pantai.

“Mungkin dia nak bertanding di tempat lain sebab banyak timbulkan isu yang tidak betul. Tapi kalau orang baru, mungkin cara kita berbeza sikit,” jelas Nong Chik mengenai perkara itu.

Pada PRU13, Nurul Izzah mendapat 31,008 undi daripada keseluruhan 72,396 pengundi untuk menewaskan calon BN, Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi. -MalaysiaGazette