Salahuddin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (tengah) diiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzim (empat kiri) diberi penerangan mengenai buah-buahan tempatan ketika hadir sesi taklimat bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pejabat FAMA Point, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 JULAI 2018

GOMBAK – Hasil perbincangan mengenai model baharu kajian semula dasar perbekalan padi dan barangan pertanian termasuk peranan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dijangka siap September depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, model tersebut merupakan cadangan yang akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk diputuskan.

Sebanyak lapan kementerian terlibat dalam perbincangan itu, katanya.

“Jawatankuasa ini telah bermesyuarat pada 17 Julai lalu dan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) melibatkan lapan kementerian.

“Keputusan yang akan dicapai mungkin melibatkan akta-akta yang perlu dipinda. Kita kena kemuka dulu satu model untuk menggantikan Bernas,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persektuan (FAMA) di sini hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji semula dasar dalam perbekalan padi dan barangan pertanian termasuk peranan Bernas.

Peranan jawatankuasa itu akan berkisar kepada isu penamatan monopoli syarikat tersebut dan merangka model baharu.

Malah, langkah kerajaan menamatkan monopoli berkenaan kerana ia telah dimasukkan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu keselamatan makanan.

Katanya, langkah kerajaan adalah mahu memecahkan monopoli sebagaimana yang sedang dibincang ketika ini agar sumber dan hasil negara itu dapat dikongsikan bersama.

“Isunya biarlah kek (sumber) ekonomi itu dikongsi bersama, janganlah hanya satu orang yang makan kek itu, itu saja,” ujarnya.

Terdahulu, Salahudin mendengar taklimat mengenai pengoperasian agensi di bawah kementeriannya itu serta lawatan pertamanya ke ibu pejabat berkenaan selepas beliau dilantik menjadi menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Hadir sama pada sesi lawatan tersebut timbalannya, Sim Tze Tzin dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak. – MalaysiaGazette