Aishah menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat.

KUALA LUMPUR – Stesen penyiar berbayar, Astro mengambil pendirian berkecuali berhubung kontroversi yang melanda penyanyi terkenal tanah air, Aishah dengan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida.

Astro yang menerbitkan program Gegar Vaganza (GV) dalam satu kenyataan berkata, berpendapat, tajaan barangan kemas tajaan Vida yang didakwa palsu oleh Aishah hanya melibatkan kedua-dua mereka tanpa ada penglibatan mereka.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, penajaan hadiah barangan kemas bernilai RM80,000 yang menjadi bahan perdebatan itu dihadiahkan oleh Vida kepada Aishah yang juga juara GV4 sebagai ganjaran tambahan atau bonus.

“Bagi menjawab pertanyaan media, kami di Astro berpendirian, kontroversi tajaan ini sebetulnya hanya melibatkan dua pihak iaitu Vida dan Aishah. Untuk pengetahuan semua, Vida telah berbesar hati untuk memberikan barangan kemas tersebut sebagai hadiah tambahan atau bonus kepada para pemenang.

“Ia ditaja sepenuhnya atas ihsan Vida dan tidak termaktub dalam perjanjian asal yang ditandatangani oleh pihak DSV dan Astro,” katanya dalam satu kenyataan itu hari ini.

Kontroversi antara kedua mereka tercetus apabila penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu baru-baru ini mendedahkan bahawa hadiah rantai berlian bernilai RM80,000 yang dihadiahkan oleh Dr. Vida merupakan barangan kemas palsu.

Sementara Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman pula dalam reaksinya pula meminta Aishah untuk mengembalikan semula barangan berkenaan kepadanya untuk digantikan dengan ganjaran lain.

Sementara Aishah pula, digambarkan oleh Astro sebagai seorang artis yang memiliki karisma dan bakat seni yang luar biasa.

Bahkan, penyertaan Aishah dalam GV4 juga diakui Astro, telah membantu melonjakkan reputasi dan imej program berkenaan.

Justeru, sebagai stesyen penyiar kami berpendapat adalah tidak manis untuk kami berpihak kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kontroversi ini

“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan serta kematangan DSV dan Aishah untuk menyelesaikan segala kemelut dengan penuh berhemah dan integriti. Kami sangat optimis dan berharap agar ‘perang mulut’ di antara kedua mereka dapat diselesaikan dalam semangat satu keluarga secepat mungkin,” jelas Emarina lagi. – MalaysiaGazette