Tun Hanif Omar

SHAH ALAM – Hanya tinggal 12 peratus sahaja Tanah Rizab Melayu (TRM) di seluruh negara ketika ini berbanding 50 peratus yang diperuntukkan kepada orang Melayu sebelum ini, kata Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Hanif Omar.

Beliau berkata peratusan itu diperolehi hasil siasatan Biro Integriti MPM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Zaman Khan.

Menurut Hanif, penyusutan itu berlaku apabila ada pihak yang mengambil TRM untuk membuat pembangunan seperti jalan raya, namun tidak menggantikannya semula.

“Jika ada penggantian, tuan tanah sendiri berpakat dengan pegawai terlibat tidak mahu tanah itu dijadikan TRM kerana tanah ini tidak boleh dijual kepada kaum lain, tetapi jika jual kepada orang Melayu harganya akan menjadi murah,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menjadi panel Konvensyen Karamah Bangsa anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di universiti itu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hanif yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata pihaknya akan mengaturkan pertemuan dengan kerajaan dan Majlis Raja-Raja bagi membincangkan perkara itu seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Konvensyen Karamah Bangsa menghimpunkan tokoh ilmuan serta pemikir Melayu bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai sejarah penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UiTM.

Selain itu, ia bertujuan menanam semangat kecintaan serta rasa bangga generasi muda terhadap kedua-dua institusi tersebut yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Turut menjadi panel pada konvensyen sehari itu ialah pengamal undang-undang Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pro Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub, manakala penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling bertindak selaku moderator.

— BERNAMA