Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyahut keputusan pucuk kepimpinan parti yang telah membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau yakin keputusan yang  dibuat itu telah mengambil kira segenap aspek terutama situasi perkembangan semasa politik Malaysia hari ini.

Katanya, keputusan Pas untuk bertanding adalah untuk menyuburkan demokrasi dengan memberi pilihan kepada pengundi tempatan bagi memilih calon dan parti yang paling berkredibiliti bagi mewakili hasrat mereka.

“Trend pengundian dalam tiga siri pilihan raya kecil sebelum ini telah memberikan signal positif untuk pembangkang.

“Secara tidak langsung Pakatan Harapan (PH) tidak boleh selesa dengan tindakan mereka yang membelakangi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Malam tadi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan Mesyuarat Harian Jawatankuasa Pas Pusat di Marang, Terengganu dilaporkan berkata, parti itu akan meletakkan calon bertanding di PRK Parlimen Port Dickson bulan depan.

Katanya, pengumuman calon akan dibuat di Markaz Pas Cawangan Bukit Tembok, Pasir Panjang, Port Dickson kira-kira jam 9 malam ini.

Menurut Muhammad Khalil, DPPM mahu kekuatan pemuda Pas di seluruh negara dikerahkan untuk membantu jentera pilihan raya tempatan.

Beliau juga mengingatkan Pemuda Pas supaya bersiap sedia mendepani cabaran, di samping mempamerkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang perjalanan pilihan raya kecil kali ini. – MalaysiaGazette