Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Keperluan pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat untuk membiayai defisit dan pembiayaan semula kertas matang.

Sebanyak RM70 bilion hutang dianggar akan matang pada 2019 dan sekitar 25 peratus akan ditebus pada separuh pertama 2019 yang mencerminkan risiko pembiayaan semula yang lebih rendah dalam jangka masa terdekat.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019, walaupun terdapat keperluan pinjaman yang lebih tinggi namun purata keperluan pembiayaan kasar kepada KDNK pada 2019 diunjurkan jauh lebih rendah daripada had purata 15 peratus oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk ekonomi yang berkembang pesat

“Kerajaan sedang meneroka pasaran antarabangsa bagi mempelbagaikan portfolio, menetapkan penanda aras baharu dan menggalakkan aktiviti perdagangan dalam pasaran kewangan,” katanya.

Setakat akhir Jun 2018, hutang Kerajaan Persekutuan dicatatkan sebanyak RM725.2 bilion atau 50.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu lebih rendah berbanding had siling hutang iaitu 55 peratus.

Hutang tersebut terdiri daripada 97.1 peratus terbitan dalam negeri dengan denominasi ringgit manakala baki 2.9 peratus merupakan pinjaman luar pesisir iaitu sebahagian besarnya dalam denominasi dolar Amerika Syarikat.

Risiko pinjaman dan pembiayaan semula oleh Kerajaan Persekutuan terurus berikutan kecairan yang tinggi dan kemajuan pasaran hutang tempatan.

Di samping itu, komposisi kecil hutang dalam denominasi asing meminimumkan pendedahan kerajaan terhadap risiko tukaran matawang asing. – MalaysiaGazette