Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) berjalan keluar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) AADK di Bilik Mesyuarat Perkasa, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu merasa gundah berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi di negara ini dan pihak-pihak tertentu boleh mengutarakan perbezaan pendapat.

“Kami juga banyak menerima input daripada ahli yang tidak bersetuju mengenai isu berkenaan.

“Malah itu pandangan mereka dan saya akan bawa ke Kabinet tetapi sementara itu, ada juga pendapat yang mungkin kata, kita kena timbang dan kena halusi.

“Jangan risau, kalau Loke (Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke) mempunyai pandangan tidak sama dengan saya, tidak mengapa.

“Kita tidak hendak sekat dan bataskan sesiapa daripada mengeluarkan pandangan masing-masing,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP memberikan kenyataan bertajuk ‘DAP harus sokong ICERD’ dan menggesa parti itu memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini turut menyuarakan keraguannya terhadap ICERD kerana ada peruntukan yang tidak sesuai dengan Malaysia.

Malah, semalam Muhyiddin turut menyatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melanggar mana-mana perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung isu berkenaan.

Tegasnya, kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan pelaksanaan ratifikasi ICERD dan tidak perlu terburu-buru kerana perkara itu perlu dinilai sedalam-dalamnya kerana tidak mahu melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam dan mana-mana hak termaktub dalam Perlembagaan. – MalaysiaGazette