Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri tidak tahu perkembangan terkini berkenaan projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Tun Dr Mahathir Mohamad juga memaklumkan tidak mengetahui sama ada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) telah ditamatkan seperti laporan berita sebelum ini.

“Saya tak tahu ditamatkan atau tak. Tapi satu daripada cara kita tangani masalah ini adalah dengan tamatkan kontrak.

“Tapi bila tamatkan kontrak kena bayar pampasan banyak bilion,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Kementerian Kewangan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Baru-baru ini sebuah media melaporkan kerajaan telah menamatkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada kontraktor dari China, China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC).

Untuk rekod syarikat itu sebelum ini diarahkan  menghentikan semua kerja dan perkhidmatan projek ECRL oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 3 Julai lalu sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Namun, Guan Eng ketika sidang media pada 18 Januari yang lalu enggan mengulas mengenai projek ECRL yang menjadi salah satu projek yang disemak semula oleh kerajaan Pakatan Harapan.-MalaysiaGazette