Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Pas dan UMNO bukan perkara baharu malah ia telah bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kerjasama terjalin disebabkan kelemahan besar Pakatan Harapan (PH) mengemudi negara termasuk gagal melunaskan janji manifesto yang ditaburkan kepada rakyat.

“Banyak penipuan dan pengkhianatan yang berlaku. Oleh sebab itu, satu koalisi pembangkang yang kuat perlu ditampilkan bagi mengimbangi kemaruk kuasa PH.

“Kerjasama kedua-dua parti juga terpaksa dilakukan ekoran pengaruh DAP cukup besar dalam PH sehingga membawa agenda yang merugikan Islam dan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasrudin juga berkata, kegagalan Parti Amanah Negara (PAN) memainkan peranan dalam memperkukuhkan kepentingan Islam dan Melayu menyebabkan kerjasama politik Pas dan UMNO terpaksa diperkukuhkan.

“Bermula dengan percaturan dalam jawatan penting negara, penggunaan tulisan Cina dalam urusan rasmi dan papan tanda, ketidakadilan dalam peruntukan belanjawan, pengiktirafan UEC, tuntutan hak milik tanah di Perak, agenda LGBT serta ICERD, dan pelbagai lagi.

“Dalam setiap kerjasama politik semasa yang dijalinkan oleh Pas, garis panduan telah diwujudkan. Husam Musa tidak tahu perbincangan dalaman parti sebab beliau bukan lagi ahli Pas,” katanya.

Katanya, sejarah kerjasama politik Pas menyaksikan pelbagai wajah kerjasama politik telah dilaksanakan dan menggarap tindakan demi kepentingan Islam dan perjuangannya.

“Alhamdulillah, sepanjang itu juga, perkiraan strategi dan rencana pendekatan Pas sering menjadikan Pas lebih diterima oleh masyarakat.

“Tanpa menafikan ada yang meninggalkan Pas, namun 10 orang pergi meninggalkan Pas, Alhamdulillah 1,000 orang pula datang menyertai Pas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette