Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Marzuki Yahya akhirnya mengakui beliau bukan graduan lepasan University of Cambridge, antara salah sebuah institusi pengajian tinggi yang dilabel berprestij di dunia.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Luar Negeri itu memaklumkan beliau  mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge International University di Amerika Syarikat (CIU-USA).

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu sebelum ini dikritik kerana mendakwa sebagai graduan University of Cambridge berkata, pengkritiknya telah salah faham berhubung kelayakannya.

Artikel berkaitan: Marzuki sedia kemukakan bukti punyai kelulusan Universiti Cambridge

“Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS.

“Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya. Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Marzuki memberitahu, beliau akan memberikan semua bukti kelayakan akademiknya kepada polis sebaik sahaja dipanggil untuk disoal siasat.

Kata beliau, semua tuduhan terhadapnya adalah berniat jahat dan bertujuan merosakkan reputasinya.

Latar belakang kelayakan pendidikan Marzuki dipertikaikan selepas pendedahan seorang warganet dikenali Zulfahan Pagon menerusi akaun Facebook.

CIU
Cambrige International University yang terletak di Amerika Syarikat.

Beliau mendakwa mendakwa program Pendidikan Jarak Jauh dari Cambridge University yang diikuti Marzuki itu tidak wujud.

Susulan itu, seorang aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef menggesa pihak polis menyiasat dakwaan mengenai Marzuki yang didakwa memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge University.

Namun, Marzuki telah mempertahankan tentang kelayakannya sambil memaklumkan akan mengemukakan bukti bagi mengesahkan beliau graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge University.

Timbalan Menteri itu juga menafikan telah menipu latar belakang pendidikannya.

Namun, hari ini, dikesan berlaku perubahan pada kategori pendidikannya di laman Wikipedia.

Menurut blogger AbuLeman, jika sebelum ini Marzuki mendakwa mendapatkan ijazah sarjananya di Universiti Cambridge maklumat itu telah diubah kepada International Cambridge University. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Kategori pendidikan Marzuki berubah di Wikipedia

Tinggalkan Jawapan