PPBM
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Bersatu Hulu Langat di Semenyih EcoVenture Resort & Recreation, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Pakatan Harapan (PH) yakin kerjasama antara Pas dan UMNO di Semenyih tidak mungkin mampu mengubah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk memihak kepada mereka.

Demikian kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat kerjasama berkenaan berjaya di Cameron Highlands tetapi menolak kemungkinan ia menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Namun, Menteri dalam Negeri itu menegaskan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengambil mudah keadaan itu.

Malah katanya, PH akan merangka strategi sesuai bagi menidakkan faktor kerjasama berkenaan seterusnya mempertahankan kerusi DUN Semenyih kepada mereka.

“Pas dan UMNO ini mereka sudah berjaya pada PRK lepas. Tapi situasi di Semenyih tak sama, dan keadaan di sini pun tak seperti di sana.

“Bagaimanapun kita tak ambil sikap mudah, kerana kalau benar mereka nak bergabung lagi kita akan ambil strategi yang perlu untuk menanganinya.

“Saya tak fikir ia (kerjasama Pas-UMNO) tak jadi isu besar bagi kita sebab kita tahu cara mereka dan sebagainya walaupun saya sedar, tidak semua katanya ahli Pas bersetuju dengan cara itu.

“Ada juga perpecahan dalam kalangan mereka kerana ada yang tak setuju dengan kerjasama UMNO. Tapi kita akan tengok,” katanya pada sidang media di sini pada hari ini.

Muhyiddin berkata, jentera pilihan raya mereka akan memperbanyakkan siri penerangan kepada pengundi di kawasan berkenaan berhubung segala pencapaian kerajaan Pakatan Harapan di peringkat pusat dan peringkat negeri.

Dalam pada itu kata beliau, PH akan memperkenalkan calonnya pada 14 Februari ini, iaitu dua hari sebelum hari penamaan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beberapa individu berpotensi sudah diletakkan dalam senarai dan PH mempunyai keyakinan untuk mempertahankan kerusi itu, berdasarkan personaliti yang dimilik calon-calon terbabit, katanya. – MalaysiaGazette