Raggie Jessy Rithaudeen
Raggie Jessy Rithaudeen

SUBANG JAYA – Peguam Negara, Tommy Thomas dan bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga perlu disiasat susulan dakwaan melanggari Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana mendedahkan maklumat bank kepada umum pada 2014.

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Rithaudeen mendakwa, Tommy membocorkan maklumat rahsia berkenaan urusan peribadi dan perakaunan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Ambiga, yang seterusnya bertindak memberikan maklumat tersebut kepada orang-orang tertentu dalam PKR.

Beliau mendakwa, maklumat itu kemudiannya digunakan oleh pemimpin-pemimpin PKR termasuk Rafizi Ramli untuk mencetuskan Langkah Kajang seterusnya menggulingkan Abdul Khalid daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

“Kononnya Langkah Kajang dirancang oleh Rafizi, cerita sebenarnya ialah satu konspirasi melibatkan Ambiga dengan Tommy. Pada ketika itu Tommy adalah peguam yang mewakili Bank Islam.

“Tommy telah membocorkan rahsia maklumat peribadi dan perakaunan milik Abdul Khalid dan maklumat itu sampai ke tangan Ambiga seterusnya diserahkan kepada orang-orang tertentu dalam PKR.

“Maklumat itu kemudiannya diselitkan Datuk Saifuddin Nasution dalam dossier hingga menjadi asas kepada Langkah Kajang untuk Abdul Khalid digulingkan.

“Ia satu inisiatif untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Raggie Jessy telah membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam meminta agar Ambiga dan Tommy disiasat di atas pelanggaran Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (ABIK). – MalaysiaGazette