Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar, telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) dan Jawatankuasa Pasaran Pertumbuhan dan Pesat Membangun (GEM).

Keutamaan Jawatankuasa GEM IOSCO antara lain tertumpu kepada kerja dasar dan pembangunan yang berkaitan dengan pasaran pesat membangun; penilaian risiko dan kerentanan serta pembinaan kapasiti kawal selia.

Ia merupakan jawatankuasa terbesar IOSCO, yang mewakili hampir 80 peratus keanggotaan IOSCO, termasuk 11 daripadanya anggota G20.

Selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa GEM, Syed Zaid akan menjadi ahli Lembaga IOSCO, badan pentadbir dan penetap piawaian IOSCO dan mempengerusikan Kumpulan Kerja Jawatankuasa GEM IOSCO mengenai Kemmpanan dalam Pasaran Pesat Membangun.

IOSCO merupakan penetap piawaian global terkemuka bagi pengawalseliaan sekuriti, yang mana keanggotaannya mengawal selia lebih 95 peratus pasaran sekuriti dunia di lebih 115 bidang kuasa.

SC menubuhkan Hab IOSCO Asia Pasifik di Kuala Lumpur, Hab Serantau pertama yang ditubuhkan di luar ibu pejabat IOSCO di Madrid, Sepanyol. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan