KWSP
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diminta menghentikan sebarang pertikaian secara terbuka kerana ia adalah amalan yang tidak sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, selain ia tidak baik bagi imej dan reputasi buat kedua-dua syarikat berkenaan, tindakan tersebut juga memberi impak tidak baik kepada Malaysia dan klia2.

Selaku pelabur, tabung dana pencen itu mengambil berat berhubung kemelut yang melanda kedua-dua entiti berkenaan katanya.

“Oleh sebab itu, kami menulis surat kepada AirAsia dan MAHB, bukan untuk menjadi pengantara tetapi kami prihatin terhadap keadaan yang berlaku.

“KWSP harap isu itu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya yang mengesahkan bahawa KWSP ada menulis surat kepada syarikat tambang murah dan pengendali lapangan terbang itu.

KWSP memiliki kepentingan sebanyak 10.56 peratus dalam MAHB dan memiliki 5.64 peratus dalam AirAsia Group Berhad, sekali gus pemegang kepentingan ketiga terbesar dalam syarikat penerbangan tersebut.

Tunku Alizakri berkata, pertikaian secara terbuka itu memberi kesan kepada prestasi saham-saham syarikat berkenaan.

Tambahnya, AirAsia juga telah menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan pengendali lapangan terbang itu dan masih menunggu jawapan daripada MAHB. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: MAHB, AirAsia kena duduk berbincang – Azmin

AirAsia tak gentar ancaman MAHB

MAHB minta AirAsia tarik balik kenyataan palsu serta-merta