Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama jemaah pada Program Sembang Santai Bersama Jemaah Masjid di Surau Sri Jenaris Kantan Permai, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 MAC 2019

KAJANG – Walaupun tidak kempen secara agresif namun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada cara sendiri membantu Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Semenyih.

Malam ini beliau bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kantan Permai.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 7.10 malam menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di masjid taman berkenaan.

Selesai solat Maghrib, Ahmad Zahid kemudian menikmati jamuan ringan bersama dengan para jemaah sambil bersantai dan beramah mesra.

Sejurus selepas itu, Ahmad Zahid yang kini sedang bercuti daripada melakukan tugas presiden parti kemudian pergi ke surau di Taman Jenaris dan menunaikan solat Isyak secara berjemaah pula.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk kemudian beramah mesra dengan para jemaah sambil menikmati teh tarik dan kuih-muih.

MGF01032019_Sembang Santai Bersama Jemaah Masjid_02 (1)
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama jemaah pada Program Sembang Santai Bersama Jemaah Masjid di Surau Sri Jenaris Kantan Permai, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 MAC 2019

Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan berakhir pukul 12 malam ini.

Pada 26 Februari lepas, seramai 858 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka di untuk mengundi awal di dua buah pusat pengundian.

Mereka terdiri daripada 761 anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan manakala 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, IPD Kajang.

Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos.

Esok seramai 53,520 pengundi biasa akan keluar mengundi di 26 PDM yang akan dibuka seawal pukul 8 pagi.

PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon Bebas.

PH mencalonkan Muhammad Aiman Zainali, sementara BN dan PSM masing-masing mencalonkan Zakaria Hanafi dan Nik Aziz Afiq Abdul.

Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bertanding atas tiket calon Bebas. – MalaysiaGazette