Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe hari ini mengumumkan senarai 25 bagi persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa empat negara, Piala AIRMARINE 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 20 hingga 23 Mac ini dan perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Nepal di stadium sama tiga hari kemudian.

Daripada 25 pemain tersebut, Cheng Hoe mengekalkan seramai 13 pemain dari skuad 23 pemain yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 pada Disember lalu tanpa baki 10 pemain lain.

Tiga pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah pemain tengah dari Selangor, Faiz Nasir, pemain pertahanan PKNS, Nick Swirad dan pemain sayap PKNP FC, Hafiz Ramdan selain Hadin Azman yang beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini turut dipanggil.

Mereka menggantikan kekosongan yang ditinggalkan empat pemain muda iaitu Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari yang disenaraikan Datuk Ong Kim Swee bagi memperkasakan skuad B-22 kebangsaan untuk Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.

Enam lagi pemain tidak dipanggil Cheng Hoe kali ini iaitu penjaga gol Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri Md Fauzi.

Dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih kembali memperkuatkan pasukan serta dua pemain Kedah penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim dan Rizal Ghazali.

Para pemain akan melapor diri pada 12 Mac ini untuk menjalani latihan pusat manakala empat pemain JDT yang terlibat dengan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tarikh yang sama hanya akan melapor diri sehari kemudian. – MalaysiaGazette