Mah Hang Soon bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Mesyuarat Majlis MCA di Ibu Pejabat MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MAC 2019

KUALA LUMPUR – MCA membuat keputusan untuk memilih kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) biar pun UMNO telah menjalinkan kerjasama dengan Pas.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu diputuskan dalam Jawatankuasa Pusat MCA  hari ini.

“Jawatankuasa Pusat MCA memilih untuk kekal dalam BN.

“MCA mesti melakukan apa sahaja untuk melindungi kepentingan pelbagai kaum di dalam BN, untuk mengelakkan hubungan kaum yang tidak baik ke arah orang Melayu terhadap bukan Melayu.

“Nilai kepelbagaian tidak boleh diketepikan di mana-mana pihak spektrum politik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis MCA di ibu pejabatnya hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Ka Siong berkata, rakyat mungkin melihat langkah MCA  sebagai keputusan tidak popular pernah dibuat walaupun ramai yang mahu mereka keluar daripada BN.

Ahli Parlimen Ayer Itam itu mengakui langkah itu akan mendapat tentangan ahli namun bersedia untuk menghadapinya.

“Kami mengakui bahawa ia menjejaskan populariti parti tetapi MCA percaya bahawa untuk mewujudkan persekitaran politik yang lebih demokratik, pelbagai dan sederhana; ini adalah pilihan yang perlu kita buat,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, kedua-dua parti komponen BN, MCA dan MIC berkata kerjasama UMNO-Pas tidak memberi sebarang masalah kepada kedua-dua parti itu selagi ia selaras dengan prinsip Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua presiden parti terbabit bersetuju bahawa kerjasama itu hanya membabitkan UMNO-Pas serta atas semangat barisan pembangkang demi kebaikan rakyat.

Ka Siong dalam sidang media bersama Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sebelum ini berkata kerjasama antara parti Melayu itu bukan bermakna Pas akan menyertai BN.

“Pendirian MCA amat jelas. Kita mendukung semangat dan prinsip dalam BN yang wujud sejak sekian lama.

“MCA tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk PAS demi kebaikan rakyat dan atas semangat sejagat,” katanya.

Sementara itu, Vigneswaran, berkata partinya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerjasama UMNO-Pas.

“MIC juga sebelum ini pernah menyuarakan pendapat berhubung isu ini. Kami memang tiada masalah, malah MIC boleh bekerjasama dengan Pas atas semangat pembangkang,” kata Vigneswaran. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/08/mca-mic-tidak-ada-masalah-kerjasama-umno-pas/