Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – UMNO Shah Alam meminta Pakatan Harapan (PH) menghentikan dakwaan mengaitkan kerjasama parti itu dengan Pas boleh memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak di negara ini.

Sebaliknya, kerjasama itu perlu diraikan kerana perpaduan dua parti gergasi ini amat penting bagi memastikan Malaysia terus stabil dan kekal harmoni.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Azhari Shaari berkata, sebagai parti yang membawa perjuangan berlandaskan Islam dan bangsa Melayu, kredibiliti kedua wadah politik ini tidak perlu diragui walau sedikit pun.

Katanya, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) telah mentadbir negara sejak 31 Ogos 1957 hingga Mei 2018 dan Pas memerintah Terengganu dan Kelantan pada saat ini, selain pernah mentadbir Perak dan Kedah.

“Sewajarnya kita melihat sendiri bagaimana rakyat berbilang kaum dilayan mengikut peruntukan perundangan dan Perlembagaan Persekutuan selama ini.

“Maka jangan disangsikan kerjasama erat kedua parti ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berharap, perkara itu tidak dijadikan polemik berterusan oleh PH, kerana manfaatnya bukan sahaja di sudut politik, sebaliknya keamanan yang dipertahankan adalah demi kestabilan negara dari segi ekonomi. – MalaysiaGazette