Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap ketika sesi sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 APRIL 2019

SHAH ALAM – UMNO dan pembangkang Johor tidak berhak untuk menentukan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor termasuk mencadangkan agar ia dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perkara itu tidak timbul kerana Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai majoriti kerusi.

“Saya fikir tak tepat, perkara itu tidak harus timbul kerana kalaupun ada keputusan apa-apa ia harus dilakukan oleh kerajaan yang ada, bukan pembangkang.

“Lebih-lebih lagi status Johor sedia ada dan saya salah seorang daripadanya iaitu DUN Johor stabil. Tiada isu apa-apa dan kita menguasai kerusi terbesar 39 daripada 56 kerusi DUN Johor.

“Jadi bermakna ini adalah kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PH. Jadi saya tak faham apa maksud yang disebutkan oleh pihak pembangkang Johor menghadap Sultan Johor untuk bubar DUN Negeri, bukan soal itu, ini soal untuk mengisi kekosongan pengganti (MB) saja,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Stesen Udara Maritim Subang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berpendapat, cadangan membubarkan DUN Johor merupakan langkah terbaik kerana tiada calon layak menjadi Menteri Besar daripada PH.

Menurutnya, jika Johor mahu terus bergerak ke hadapan sekali gus mencapai usaha menjadi kuasa ekonomi baharu negara, negeri ini memerlukan seorang Menteri Besar yang berpengalaman dan mampu mentadbir negeri ini.

Muhyiddin juga menyindir Hasni selaku ketua pembangkang Johor yang tidak sabar untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Nak adakan pilihan raya, dia tak boleh tahan lama nak tunggu lima tahun, itu saya tak fikir bersandarkan kepada peraturan dan undang-undang

“Ini cuma hasrat saja, saya nak menasihat pembangkang, tak wajar langkah itu dibuat walaupun ia tidak selari dengan keadaan pada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette