Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada pemberita Malaysia Gazette ketika ditemui di Johor Bharu. Foto NIZAM ZAIN

JOHOR BHARU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak meneruskan sebarang usaha yang membelakangkan rakyat serta Majlis Raja-Raja bagi meneruskan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, sekiranya ia diteruskan, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengundang kemarahan rakyat hingga mewujudkan perhimpunan jalanan besar-besaran.

“Jangan sampai akan ada pertembungan (rakyat) dengan kumpulan-kumpulan tersebut, saya rasa rakyat bersedia untuk bangkit semula seperti ICERD dahulu menyatakan pendirian rakyat berhubung isu ini.

“Dalam hal ini kita mengikuti dan memantau apa yang berlaku ini, saya harap ianya tidak diteruskan gerakan itu kerana ianya bertentangan dengan tuntutan rakyat jelata.

“Pada masa ini mungkin tak diperlukan lagi untuk mengadakan perhimpunan seperti masa isu ICERD dulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau mengulas penganjuran forum bertajuk ‘Malaysia dan Statut Rom’ yang akan diadakan di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya (UM) bermula jam 10 pagi, 27 April ini.

Antara barisan ahli panel yang diundang dalam forum tersebut ialah Peguam Negara, Tommy Thomas; Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi; jurucakap Kumpulan G25, Noor Farida Ariffin; peguam, Lim Wei Jiet dan Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi.

Tajuddin selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga menyifatkan penganjuran forum terbabit oleh pihak yang bertanggungjawab di sebalik ratifikasi Statut Rom itu juga sebagai bertentangan pendirian Kabinet yang menarik balik penyertaan dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu.

“Kita tidak hairan dengan tindak-tanduk sama ada daripada PH sendiri ataupun daripada orang-orang tertentu sama ada ahli akademik atau mana-mana sekalipun menggerakkan supaya Statut Rom ini dijadikan realiti.

“Saya mendengar khabar pihak-pihak yang tidak puas hati dengan keputusan Kabinet itu sama ada dari dalam mahupun luar mereka telah berusaha untuk mempengaruhi rakyat bermula dengan komuniti pelajar.

“Mereka ini merupakan gerakan-gerakan untuk menentang keputusan Kabinet dibuat itu, yang mana kita tahu di dalam Kabinet pun bukan sebulat suara bersetuju (tarik balik Statut Rom),” katanya.

Katanya lagi, keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik balik ratifikasi Statut Rom pada 6 April lalu itu sebenarnya tidak dipersetujui dan bertentangan dengan prinsip menteri-menteri dalam Kabinet.

“Dalam Kabinet itu pun 90 peratus daripada menteri-menteri tidak bersetuju dengan keputusan Dr Mahathir, maknanya mereka seolah-olah terpaksa akur dengan keputusan itu.

“Keputusan Kabinet itu sendiri tidak menunjukkan komitmen kerajaan, macam-macam boleh berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan