Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal

KUALA LUMPUR – Cakap-cakap mengenai ‘peranan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor yang semakin kuat kendengaran mendorong Pegawai Khas Presiden Bersatu itu tampil memberikan penjelasan.

Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, beberapa pihak menuduh Muhyiddin membuat u-turn di saat akhir apabila membuat rombakan barisan Exco yang bercanggah dengan keputusan Kabinet supaya tiada rombakan dibuat.

“Ramai ahli Bersatu menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar perkara ini.

“Walaupun saya berasa berat hati untuk tampil membuat penjelasan kerana ini merupakan hal dalaman parti, tetapi oleh kerana fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin yang disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab telah berleluasa, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli Bersatu, saya berasa bertanggungjawab untuk menyatakan perkara yang sebenar,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Faceook hari ini.

Beliau yang menyertai pertemuan Menteri Besar Johor dengan Muhyiddin pada 20 April lalu berkata, rombakan bukan dibuat oleh Presiden Bersatu sebaliknya Dr Sahruddin Jamal mendapatkan nasihat Muhyiddin  mengenai pembentukan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu.

Katanya, semasa pertemuan itu Muhyiddin memberikan nasihat secara umum bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Menteri Besar berhak menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri.

“Menteri Besar Johor memberitahu Tan Sri Muhyiddin bahawa beliau mahukan satu pasukan Exco yang beliau percaya boleh bekerjasama dengannya dalam mengurus pentadbiran kerajaan Negeri Johor.

“Ini selaras dengan kenyataan Menteri Besar Johor sendiri yang dilaporkan oleh media. Oleh kerana Menteri Besar Johor mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor untuk menyembah maklum nama-nama Exco yang akan dilantik, maka Tan Sri Muhyiddin menyerahkan perkara ini kepada budibicara Menteri Besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, Muhyiddin berada di luar negara ketika Kabinet memutuskan bahawa Exco Kerajaan Negeri Johor tidak boleh dirombak dan keputusan tersebut tidak dimaklumkan kepada beliau.

Katanya, perkara itu hanya diketahui oleh Muhyiddin apabila dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 22 April beberapa jam sebelum Mesyuarat Khas MPT Bersatu.

“Saya percaya jika Tan Sri Muhyiddin mengetahui keputusan ini dari awal, beliau sudah pasti menasihati MB Johor supaya mematuhi keputusan tersebut,” katanya.

Mengenai dakwaan Muhyiddin mengadap Sultan Johor pada 21 April semata-mata untuk menyembah maklum nama-nama Exco, Marzuki mengulangi penjelasan sebelum ini bahawa kehadiran Presiden Bersatu adalah untuk menyembah maklum nama Menteri Besar Johor di mana beliau sebelum itu tidak dapat berbuat demikian kerana berada di luar negara.

“Ia tiada kaitan sama sekali dengan rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor.

“Sebagai bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhyiddin amat maklum bahawa bukan kuasa beliau untuk menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri. Itu adalah kuasa Menteri Besar,” katanya. – MalaysiaGazette