Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia bagi bulan April 2019 telah meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada RM85.2 bilion,
berbanding RM84.2 bilion setahun lalu sebelum menyaksikan penurunan dua bulan berturut-turut.

Kenaikan eksport bagi bulan April ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan asing untuk barangan elektrikal dan elektronik (E&E) buatan tempatan, serta barangan petroleum, barangan kimia dan gas asli cecair (LNG).

Pertumbuhan eksport berlaku semasa perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia, menonjolkan daya saing Malaysia yang tinggi di persada dunia.

Jumlah perdagangan Malaysia juga meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada RM159.5 bilion bagi bulan April 2019 daripada RM155.5 bilion setahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peningkatan ini merupakan anda awalan menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini kukuh.

Import bagi bulan April 2019 pula tumbuh 4.4 peratus tahun-ke-tahun.

“Perangkaan import adalah penting kerana ia menggambarkan permintaan domestik dan kenaikan import bererti penggunaan swasta serta KDNK akan turut berkembang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Peningkatan import dalam bulan April bermakna permintaan domestik pada suku kedua akan berkembang, dan ini adalah setelah KDNK negara meningkat 4.5 peratus pada suku pertama tahun 2019.

Terdapat beberapa petanda awalan lain yang memberangsangkan dalam statistik import dengan import barangan penggunaan bagi bulan April 2019 telah meningkat 18.9 peratus tahun-ke-tahun, selepas tumbuh dengan kukuhnya pada kadar 10.5 peratus dalam bulan Mac 2019.

Import barangan pengantara bagi bulan April melonjak 20.3 peratus tahun-ke-tahun, setelah naik hanya 3.2 peratus dalam bulan Mac.

Manakala pertumbuhan kukuh bagi import barangan penggunaan dan pengantara menggambarkan pertumbuhan KDNK
suku kedua adalah baik.

Perkembangan positif ini berlangsung semasa kadar inflasi stabil pada 0.2 peratus tahun ke-tahun dalam bulan April, kadar pengangguran kekal rendah pada 3.4 peratus pada bulan Mac dan jangkaan bahawa pengeluaran perindustrian akan terus berkembang dalam suku ke-2 tahun 2019.

Pada masa yang sama, Indeks Keyakinan Pengguna yang diterbitkan oleh Nielsen telah meningkat 11 mata kepada 115 mata pada suku pertama 2019 berbanding 104 setahun lalu.

Peningkatan indeks tersebut menunjukkan pengguna Malaysia yakin akan prospek ekonomi mereka dalam 12 bulan yang akan datang.

Menurutnya, lebihan akaun semasa yang berterusan untuk tahun ini.

“Peningkatan eksport ini telah membolehkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan setinggi RM10.9 bilion pada bulan April 2019. Ini menjadikan lebihan dagangan untuk 4 bulan pertama tahun 2019 sebanyak RM47.8 bilion, berbanding hanya
RM46.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Lebihan besar setakat April 2019 ini akan membantu memastikan supaya imbangan akaun semasa tahunan negara akan berada dalam keadaan lebihan. Ia akan melindungi Malaysia daripada pelbagai risiko luaran seperti perang dagang yang memburuk,” tambah Guan Eng.

Malaysia mendapat manfaat daripada perang perdagangan setakat ini daripada lencongan perdagangan dan penempatan semula perniagaan. Nomura, iaitu sebuah institusi kewangan dari Jepun, telah mengenal pasti Malaysia sebagai penerima manfaat yang keempat terbesar di dunia selepas Vietnam, Taiwan dan Chile.

Selain daripada lencongan perdagangan yang membantu pertumbuhan eksport, Malaysia berkemungkinan besar akan menerima faedah daripada penyusunan semula rantaian bekalan global.

Ini dapat dilihat apabila pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan telah meningkat 48 peratus dalam tahun 2018 kepada RM80.5 bilion daripada RM54.4 bilion pada tahun 2017.

Walaupun begitu, Malaysia berharap perang perdagangan akan berakhir segera kerana tiada siapa akan memenanginya jika ia bertambah buruk. – MalaysiaGazette