Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap kepada media di lobi Parlimen. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Setiap parti politik Melayu di negara ini seharusnya menyatakan pendirian masing-masing termasuk UMNO setelah menerima pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kini keputusan juga terletak pada pucuk pimpinan setiap parti dalam PH.

“Saya difahamkan parti Pakatan PH akan bermesyuarat hari ini..
saya akan tunggu dan lihat apa pendirian PKR dan DAP.

“Saya ingat semua pihak perkara dikaitkan dengan perpaduan umat Melayu.

“Jangan takbur, jangan angkuh, jangan sombong (semua parti Melayu) kerana orang tengah perhatikan termasuk pihak menawarkan kerjasama dalam nak bincang kesatuan ummah penting bagi masyarat Melayu begitu juga menyatuan kaum lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, sentimen berkenaan telah beliau tekan beberapa kali sebelum ini.

Namun kata Hishammuddin, beliau melihat tiada sesiapa yang mengambil serius kepentingan kebajikan dan kesejahteraan rakyat termasuk ekonomi dan hal peneroka.

“Sebab itu saya minta semua pihak mengambil kira perkara berkenaan sebab pada akhirnya kepentingan rakyat dan negara yang harus dititikberatkan.

“Kita biar ikhlas dalam ajak semua bersatu sebab rakyat memerhatikan kita (ahli politik) dan kalau betul nak bersatu, biarlah bersatu dengan ikhlas supaya rakyat menjadi saksi penyatuan itu,” katanya. – MalaysiaGazette