Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap semasa sidang media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin mempunyai sokongan untuk beliau diangkat menjadi Perdana Menteri.

Presiden PKR berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah membuat pendirian mengenai perkara itu dan statusnya tidak berubah selain ia mendapat sokongan penuh ahli-ahli Parlimen PH.

“Itu bukan isu. Ahli Parlimen bersama saya, PH sudah buat pendirian dan ia tidak berubah. Ia tidak akan berubah.

“Perdana Menteri dalam setiap mesyuarat mingguan mengandaikan saya akan mengambilalih dan perbincangan mengenainya sedang berjalan.

“Saya ada jumlah (ahli parlimen), saya ada sokongan PH dan juga Perdana Menteri. Jadi, ia bukan untuk saya dan (Datuk Seri) Mohamed Azmin (Ali) membuat indikasi sebaliknya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Anwar ditanya wartawan mengenai segelintir pihak yang mendakwa Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR menjadi ancaman kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Ditanya sama ada beliau akan berbincang dengan Mohamed Azmin untuk menjernihkan keadaan – Anwar mendakwa beliau sudah dua kali menghubungi timbalannya itu.

“Ia bukan saja soal politik tapi keluarga. Saya sedia bukan hanya berbincang malah hadir dan membantu meleraikan. Ini terkeluar daripada persimpangan politik. Saya jelaskan ini kepada beliau,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.