Penyanyi, Heliza Helmi semasa sesi fotografi pada Majlis Pelancaran Single Terbaru dan Pelancaran Telekung di Petak Event Space, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Heliza Helmi memberitahu dia bersama rombongan delegasi Malaysia untuk misi #wakeupforgaza telah ditahan tentera Mesir.

Heliza yang juga aktivis kemanusiaan berkata, mereka terkandas berjam-jam semalam di Rafah negara itu sebelum diarahkan berpatah balik semula ke Gaza.

Rombongan tersebut bermalam di Gaza sebelum mencuba lagi untuk keluar pagi ini.

Berkongsi pengalaman berada di Rafah, Heliza, 33, berkata, mereka berdepan dengan cabaran yang begitu perit termasuk cuaca sangat panas hingga mencecah 50 darjah Celcius.

Dalam keadaan darurat itu, peserta program Akademi Fantasia musim kelima itu bersama delegasi lain terpaksa tidur beramai-ramai di Rafah dalam keadaan sesak dan tiada bekalan makanan serta minuman.

Selain diberi layanan yang kasar oleh pihak berkuasa di sana, selama berjam-jam itu mereka juga terputus hubungan dengan keluarga di tanah air kerana tiada jalinan internet.

“Kami tak tahu bila kami akan pulang, kepada semua saya mohon maaf salah silap saya kepada semua”, tulisnya dalam Instagram pada pagi ini.

Heliza bersama delegasi lain menuju ke Gaza pada 10 Julai lalu.

Sementara itu, pelakon Yatt Hamzah juga menerusi akaun Instagram memaklumkan dia bersyukur kerana mendapat tahu suaminya Zulfadhli Khiruddin yang turut bersama rombongan tersebut ada menghubungi kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Dia juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan suaminya, Heliza Helmi serta ahli deligasi lain agar proses untuk mereka keluar dari Gaza melepasi pintu sempadan Rafah lancar dan terus pulang ke pangkuan keluarga di sini.

“Mereka terpaksa bermalam satu hari lagi di Gaza sebelum berangkat balik ke Malaysia. Teruskan doa,” tulisnya.- MalaysiaGazette