Allahyarham Muhammad Afizuddin bin Aidzuhan. foto FB APMM

KUALA LUMPUR – Mayat pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin, Institut Latihan Vokasional Ranaco, Muhammad Afizuddin Aidzuhan, ditemui terapung pada jarak 3.9 batu nautika barat laut dari lokasi kapal mangsa bertugas.

Allahyarham, 20, dilaporkan terjatuh ke laut sekitar perairan Kuala Linggi pada jam lebih kurang 11.50 malam 28 Julai lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pihaknya telah memperluaskan kawasan pencarian merangkumi 70 batu nautika persegi perairan Kuala Linggi yang melibatkan aset pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia, PDRM, JBPM, APM, Rela, Syarikat Tag Marin Sdn Bhd serta komuniti Nelayan Kuala Linggi.

Keadaan cuaca yang baik memudahkan pasukan melaksanakan misi pencarian sehingga mayat mangsa ditemui pada jam lebih kurang 12.45 tengahari oleh komuniti nelayan Kuala Linggi.

Menurut beliau, mayat penuntut itu dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi bagi pengecaman keluarga mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka seterusnya untuk proses bedah siasat”, katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette