Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Protal Wilayahku di Auditorium Kementerian Wilayah Persekutuan, Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merestui langkah UMNO Selangor mengusulkan pemecatan Ng Suee Lim sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dilihat satu usaha melaga-lagakan pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menegaskan, isu pemendekan tempoh persidangan DUN Selangor kepada dua hari itu bukan satu ancaman besar dan tiada keperluan untuk melucutkan jawatan Suee Lim.

“Zahid Hamidi saya ingat, sebagai pembangkang akan berusaha untuk menimbulkan kegusaran dan perbalahan dalam kalangan anggota Kerajaan PH Selangor.

“Isu ini telah timbul hasil daripada persidangan DUN lepas bukan merupakan satu masalah dan ancaman yang besar, ianya boleh ditangani dengan baik oleh Kerajaan PH, Insya-Allah.

“Ini kerana Kerajaan PH di peringkat negeri sekali pun terpaksa akur kepada keputusan di peringkat pusat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Protal Wilayahku, di Menara Seri Wilayah hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang memberi kuasa penuh kepada UMNO Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu untuk membawa usul memecat Suee Lim sebagai Yang DiPertua DUN Selangor.

Ahmad Zahid mendakwa Suee Lim tidak menghormati hal ehwal Islam apabila speaker itu mengakhiri persidangan DUN Selangor yang dijadualkan berlangsung selama 12 hari dalam masa dua hari sahaja.

Langkah Suee Lim memendekkan sidang DUN dilihat seolah-olah cuba mengelak pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak.

Khalid selaku Ahli Parlimen Shah Alam juga menyindir tindakan Ahmad Zahid itu yang memberi merestui cadangan berkenaan sama ada ia boleh membawa sebarang perubahan atau sebaliknya.

“Zahid Hamidi nak berikan restu dia, sama ada restu dia akan mampu membawa kepada perubahan seperti mana yang diinginkan itu itu perkara lain.

“Itu hak dia sebagai pembangkang untuk melakukan tindakan-tindakan yang dianggap perlu bagi dia,” katanya.

Khalid juga menegaskan bahawa pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak sudah diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan timbul isu ia perlu dipinda.

“Kita pun kena memahami bahawa sebenarnya apabila Mahkamah Persekutuan telah membuat satu keputusan, maka Mahkamah Persekutuan akan mengatasi dan diberikan keutamaan berbanding mahkamah-mahkamah yang lain.

“Dari sudut undang-undang negara, bila mahkamah persekutuan telah membuat satu keputusan maka pandangan itu wajar diutamakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette