Daniel Sturridge

TURKI – Bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge sudah tiba di Turki untuk menyertai kelab bola sepak Trabzonspor.

Pemain berusia 29 tahun itu dibebaskan secara percuma oleh the Reds musim lalu selepas enam tahun di Anfield untuk berhijrah ke SuperLig Turki.

Sturridge menjaringkan 67 gol bersama the Kops dalam 160 penampilan melibatkan semua perlawanan.

Bekas penyerang England itu juga sebelum menyertai Liverpool memulakan karier bersama Manchester City dan kemudian menyertai Chelsea pada tahun 2009.

Dia juga dipinjamkan kepada Bolton Wonderers selama enam bulan sebelum berhijrah ke Liverpool.

Pada Julai lalu, Sturridge digantung daripada beraksi untuk dua minggu dan didenda 75,000 pound.

Hukuman itu menyusul dari FA England selepas pemain itu disabitkan bersalah melanggar peraturan pertaruhan perlawanan.

Monaco mengintai pemain itu namun kelab Turki berjaya mengikat khidmat bintang sensasi England berkenaan.- MalaysiaGazette