Dr. Ibrahim Ali

SHAH ALAM – Kebanyakan calon Perdana Menteri yang dinamakan sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) bagaikan harimau yang sudah tercedera.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana kebanyakan calon yang dinamakan itu terpalit dengan kes mahkamah dan tidak bersih baik salah laku rasuah, integriti mahupun moral. .

“Saya pun boleh jadi calon Perdana Menteri, apa kurangnya, saya tiada kes, saya tiada kes di mahkamah, baik moral, baik rasuah, baik integriti.

“Saya satu-satunya calon paling bersih, ilmu pun saya ada, pendidikan saya pun tinggi, rekod perjuangan lama, saya juga masuk ISA dua kali, berpuluh kali masuk mahkamah, rekod tetap bersih.

“Ini yang dok nak jadi Perdana Menteri ini, ada beberapa orang, saya kira mereka ini sudah luka, mereka ini sudah cedera bagai harimau cedera,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, malam ini.

Khamis lalu, Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengumumkan secara rasmi bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri jika mereka memperoleh majoriti pada PRU15.

Malah perkara itu turut diakui veteran DAP, Lim Kit Siang yang akan memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 walaupun beliau sendiri sudah bersara dalam barisan hadapan selepas 57 tahun.

Ketika ditanya tentang musuh Gerakan Tanah Air (GTA) dan Putra dalam PRU15, Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau tidak memusuhi mana-mana pemimpin parti politik selagi mana mereka menghormati Islam dan memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.

“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa, saya bermusuh dengan orang yang tidak menghormati usaha dan perjuangan untuk membetulkan keadaan orang Melayu dan Bumiputera berasaskan kepada Perlembagaan.

“Saya bermusuh dengan orang yang tidak menghormati Islam, sama ada dalam kalangan pembangkang, mahupun kerajaan termasuk parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette