Anwar Ibrahim bersama Naib Presiden Indonesia, Ma’aruf Amin dan Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan sambutan ulang tahun pertama beliau menerajui Kerajaan Perpaduan dengan merakamkan ucapan terima kasih kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana menyokong beliau bagi memastikan kestabilan politik negara.

Bercakap pada majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di sini malam ini, Anwar berkata, sokongan itu membolehkan beliau mengemudi Malaysia ke arah memperkasa ekonomi dan melakar kemajuan masa depan negara.

“Saya hanya ingin menyatakan yang saya tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa Premier Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari dan GPS telah memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya.

Anwar berkata, bulan-bulan pertama pembentukan Kerajaan Perpaduan telah menyaksikan mereka terpaksa berdepan beberapa “pergolakan kecil” namun beliau bersyukur kerana kerajaan itu menjadi lebih stabil selepas setahun.

“Kita (kini) boleh bercakap mengenai peralihan tenaga, transformasi digital dan kerancakan ekonomi kerana kita sudah stabil dari segi politik… kita memiliki majoriti lebih dua pertiga di Parlimen,” katanya. – BERNAMA