Calon Pejuang P.095 Tanjong Karang , Azlan Sani Zawawie melakukan kerja-kerja menurap jalan di Tanjong Karang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 12 NOVEMBER 2022.

KUALA SELANGOR – Lebih 1 tan tar disediakan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menurap jalan rosak dan berlubang jika calonnya, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali Lando memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Azlan yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood) berkata, langkah itu bagi membaiki pulih 10 kawasan yang dikenal pasti menghadapi masalah infrastruktur itu termasuk di sekitar kampung.

“Setakat ini kita sudah melakukan turapan jalan di tiga kawasan sepanjang tujuh hari tempoh berkempen.

“Saya menjangkakan lebih banyak turapan akan dilakukan selaras dengan manifesto utama untuk menaik taraf jalan sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu Azlan melakukan kerja-kerja turapan beberapa jalan rosak di sekitar Kampung Sungai Burong, di sini.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Tanjong Karang dipilih berikutan menghormati dan menghargai jasa seorang ahli Brotherhood yang meninggal dunia dalam kemalangan, baru-baru ini.

“Arwah yang menetap di Parlimen Tanjong Karang amat komited dalam isu kerosakan jalan yang boleh menyebabkan kemalangan.

“Justeru, saya terpanggil untuk bertanding sekali gus memperingati jasa arwah kepada Brotherhood,” katanya.

Calon Pejuang P.095 Tanjong Karang , Azlan Sani Zawawie melakukan kerja-kerja menurap jalan di Tanjong Karang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 12 NOVEMBER 2022.

Beliau juga berkata, sokongan pengundi dilihat amat positif dan menyokong perjuangannya sepanjang lapan hari berkempen.

Kerusi P095 Tanjong Karang menyaksikan pertembungan lima penjuru di mana Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof (BN) sebagai calon parti itu.

Selain Habibah, turut bertanding di Parlimen luar bandar itu ialah Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi (PN), Siti Rahayu Baharin (PH) dan calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.

Pada PRU14, penyandang kerusi itu, Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 1,970 undi. – MalaysiaGazette