ceramah rakyat
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa berucap pada program Ceramah Rakyat Janji Manismu di Skate Park Andalas, Taman Sri Andalas, Klang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OGOS 2018

KLANG – Kerajaan persekutuan dilihat mempunyai penyakit apabila sering menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji-janji dalam manifesto, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. 

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan terhadap BN yang menjadi punca ketidakmampuan negara kini hanya kerana mahu melepaskan diri semata-mata.

“Kerajaan sekarang berpenyakit ada fobia, bila bangun asyik nak tuduh kerajaan dulu, nak sindir yang dulu, nak insult yang dulu sebab kerja sekarang tidak boleh buat.

“Bukan payah nak buat benda yang dia sendiri tawarkan kata kalau menang mahu turunkan (harga) minyak. Turunkanlah, bila lagi nak turunkan? Harga minyak bukan payah, tunggu menteri tanda tangan  sahaja. Bukan rakyat nak mintak, kamu yang janji,” katanya ketika berceramah di Taman Sri Andalas yang bertajuk “Janji manismu”. 

Selain itu, Annuar berkata, calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni membuka kelemahan parti itu sendiri apabila menjadikan isu sampah yang gagal diselesaikan sebagai bahan berkempen.

Jelas beliau, ini kerana sebelum ini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu disandang oleh ahli parti itu. 

“Saya tengok calon (Zawawi) tunjuk sampah sana sini.  Dulu orang siapa? Dari orang kamu.

“Kamu tunjuk kelemahan kamu tu buat apa, kalau tidak boleh bagi Lokman Adam selesai masalah,” katanya. 

SEbelum ini, DUN tersebut disandang oleh Allahyarham Shuhami Shafie yang meninggal dunia penyakit kanser baru-baru ini. -MalaysiaGazette