Isteri Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kelihatan sedih ketika keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan semula hukuman penjara kerana meliwat di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 DISEMBER 2016.

KAJANG – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau enggan memohon maaf kepada umum ekoran kegagalan Langkah Kajang yang digerakkan pembangkang tiga tahun lalu.

Ujarnya, semua yang direncanakan pembangkang telah berlaku dan perkara itu tidak perlu difikirkan lagi.

“Adakah Datuk Seri akan mohon maaf sebab Langkah Kajang gagal? Buat apa saya nak minta maaf,” katanya kepada wartawan hari ini.

Wan Azizah ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Ditanya tentang keperluan Langkah Kajang oleh pembangkang, Ahli Parlimen Kajang berkata; “Apa yang berlaku sudah berlaku. Rakyat perlu teruskan hidup. Kita nampak Selangor sekarang makin maju.

Langkah Kajang diilhamkan bekas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang kononnya mahu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai pentas strategik menawan Putrajaya telah gagal.

Ini kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding dalam PRK tersebut selepas disabitkan kesalahan dengan kesnya di mahkamah.

“Saya rasa itu tidak baik, sebab kalau dia (Najib) mahu jadikan itu jenaka, saya rasa itu tidak tepat. Tapi kalau dia (Najib) katakan begitu, ia tidak betul.

“Najib boleh sindir apa pun, kita nak (dia) jawab (tuduhan) 1MDB,” kata Wan Azizah.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah memerli Langkah Kajang yang dibawa pembangkang dalam ucapannya sempena perasmian Mass Rapid Transit(MRT) Fasa Dua Sungai Buloh-Kajang di Stesen TRX.

Menurut Najib, MRT adalah program kemudahan pengangkutan awam berkenaan merupakan Langkah Kajang yang sebenar. – MalaysiaGazette.