Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa mengambil tindakan memalukan diri sendiri apabila menarik balik cadangan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, penarikan balik cadangan itu juga membuktikan kejayaan besar bagi rakyat yang tidak putus-putus membuat desakan.

“Suara desakan ramai menjadi kuasa penting hingga rakyat dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan penangguhan pemansuhan BIPK.

“Ianya satu kejayaan rakyat dan pihak berkepentingan serta para NGO termasuk anak muda yang berani bersuara menuntut hak.

“Kesedaran dan gemblengan solidariti untuk memperjuangkan kepentingan seperti ini perlu sentiasa padu dalam kalangan rakyat agar hak tidak semudahnya diremeh dan dinafikan pihak yang bertindak atas kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ir. Khairil Nizam berkata, adalah suatu yang malang bagi kerajaan PH apabila sekali lagi terpaksa membuat pusingan U yang sememangnya memalukan diri sendiri.

Katanya, telah berulang kali kerajaan bertindak begitu yang menunjukkan keputusan sering dibuat tanpa kajian dan kedudukan berdasarkan realiti sebenar.

Kesannya sangat besar, di mana menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat dan pelbagai pihak.

“Porak peranda ditimbulkan kerajaan PH tidak ubah seperti nasib ‘Keluarga 69’. Lebih malang jika keputusan dilaksanakan menjadi hukuman kepada pihak tidak bersalah sebagaimana kes ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian sebelum ini.

“Oleh itu, atas bantahan telah ditunjukkan pelbagai pihak, lebih lagi mereka yang terlibat dalam pemansuhan, maka kerajaan sewajarnya memuktamadkan keputusan.

“Pemansuhan mesti dibatalkan terus! Ini penting demi menjana produktiviti dan perkhidmatan yang lebih berkesan daripada golongan tenaga pakar terlibat,” katanya.

Katanya, penjawat awam bukan anak tiri kerajaan, tetapi tulang belakang penting yang menggerak dan menyempurnakan segala agenda pemerintahan serta segala sasaran negara.

“Janganlah mewujudkan jurang atau dilihat seakan bersengketa antara kedua pihak iaitu penjawat awam dan kerajaan.

“Kerana kelak yang bakal menjadi mangsa adalah rakyat dan negara. Kerajaan PH harus sedar persepsi negatif kian membesar atas perbuatan sendiri. Namun, langkah pembetulan masih harus dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette