Antara peserta yang berarak pada dari Menara Tabung Haji ke Padang Merbok pada Perhimpunan Mega Demi Palestin ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata di Gaza amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat antarabangsa khususnya umat Islam seluruh dunia yang mencintai keamanan dan kesejahteraan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar berkata, resolusi tersebut membuka ruang bekalan makanan dan minuman serta bantuan perubatan masuk ke Gaza.

“Begitu juga hospital-hospital yang telah tutup akibat tiada bekalan bahan api juga diharapkan akan beroperasi semula dan dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang cedera,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun katanya, Israel masih konsisten dengan keganasan yang dilakukan tanpa mempedulikan resolusi yang telah dicapai.

Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam membaca Qunut Nazilah serta menunaikan solat hajat di surau dan masjid agar Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Palestin.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan, marilah bersama-sama kita melipatgandakan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin. Pada masa sama menghulurkan bantuan kemanusiaan agar ianya dapat disalurkan ke Gaza, Palestin,” jelasnya.

Sejak Gaza dibedil bertalu-talu lebih lima bulan lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin lalu akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini berulang kali menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi yang bertujuan memberi tekanan kepada sekutu kuatnya, Israel akhirnya mengambil pendirian berkecuali manakala 14 negara anggota tetap UNSC sepakat menyokong draf tersebut.-MalaysiaGazette