Datuk Seri Salahuddin Ayub.

KUKUP – UMNO, Pas hanya pandai bercakap tetapi tidak boleh menyampaikan dan mereka akan kekal sebagai pembangkang, kata, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Salahuddin Ayub

Katanya, kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa UMNO dan Pas akan menjadi jurucakap kepada kaum Melayu apabila menang di Tanjung Piai adalah retorik yang tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk penyampaian.

“Kami (Pakatan Harapan) diamanahkan rakyat pada hari ini, kita boleh dengar dan boleh ‘deliver’ (menyampaikan) dan itu rakyat kena faham.

“Lagi kuat mereka bercakap, lagi kuat mereka menegur, kita akan buat kerja untuk menyampaikan segala dasar yang dijanjikan kerana kita kerajaan bertanggungjawab setakat ini sistem penyampaian kami sangat efisien tanpa tersangkut rasuah dan berjaya mengurangkan ketirisan.

“Semakin banyak projek yang diperolehi kita berikan kepada rakyat kerana tidak ada rasuah dan ketirisan,” katanya selepas Walkabout Pasar Pagi Serkat bertemu pengundi Tanjung Piai di DUN Kukup pagi ini.

Pilihan Raya Kecil diadakan di Parlimen Tanjung Piai berikutan kematian Datuk Dr. Md.Farid Md Farik pada 21 September lalu.

Salahuddin berkata, dalam politik tiada yang mustahil dan menyifatkan politik merupakan seni mustahil dan pihaknya mempunyai keyakinan telah membina kekuatan di Tanjung Piai.

“Saya rasa kita boleh pergi jumpa rakyat dengan sesuatu yang kita boleh yakinkan mereka kita pada kedudukan ‘upperhand’ dan istimewa kerajaan ini adalah kita boleh janji dan menunaikan dengan peruntukan dan perolehan.

“Manakala pembangkang ada suara sahaja walaupun berlaku semak dan imbang tetapi hanya dengan suara sahaja tidak cukup.

“Kita harus ada suara, perolehan, peruntukan dan sistem penyampaian yang boleh disampaikam kepada rakyat dengan cepat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette