80,000 kilogram barangan kitar semula yang berjaya dikumpul oleh IIUM Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN – International Islamic University Malaysia (IIUM), Kampus Kuantan yang menganjurkan Hari Kitar Semula 2.0 di peringkat daerah Kuantan 80,000 kg barangan barangan terpakai daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Program yang dianjurkan pada 19, 20 dan 24 Ogos lalu mendapat sambutan daripada 1,400 pengunjung dan melibatkan 180 orang sukarelawan.

Ini adalah anjuran kali kedua di bawah Jawantankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Alam Sekitar (IKC EPMC) yang telah mendapat sambutan luar biasa daripada Warga Kuantan, Pekan, dan Kemaman.

IKC EPMC adalah badan di universiti yang bertanggungjawab untuk memastikan universiti mengikut piawaian yang telah di tetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan bertanggungjawab untuk mempromosikan aktiviti berkaitan kelestarian alam sekitar di universiti.

Pada tahun 2023 juga, IKC EPMC telah mengharumkan nama negara dengan memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu International Green Gown Award untuk kategori memberi manfaat kepada komuniti.

Projek ini berjaya mengumpul hampir 67,000kg pelbagai jenis tekstil, 2000kg minyak masak terpakai, dan 11,000kg bahan kitar semula seperti kertas, plastik, besi, aluminium, kotak, sisa eletronik, dan
buku.

Menurut Pengarah Program ini, Wan Nazma Fazira, pada mulanya pihak IKC EPMC hanya menyasarkan pengumpulan maksima sebanyak 10,000kg sahaja untuk tekstil.

Namun, berikutan sambutan yang amat menggalakkan semasa 19 dan 20 Ogos 2023, angka ini telah menjangkau sehingga hampir 70,000kg tekstil.

Menurut Pengerusi IKC EPMC, Dr. Noor Artika Hassan berkata,berdasarkan kajian, setiap individu menghasilkan lebih kurang 1.5kg sampah sehari.

Maka dengan aktiviti yang dijalankan pada hari kitar semula ini, diharap akan dapat menyuntik semangat orang ramai untuk mengitar semula semua bahan-bahan terpakai termasuk tekstil.

Amalan kitar semula ini bukan sahaja dapat menyelamatkan alam sekitar, malah melalui proses pengurusan sampah yang berkesan boleh mengurangkan risiko kepada penyakit bawaan vektor di Malaysia seperti denggi.

IKC EPMC akan terus berusaha mendidik dan memperkasakan orang awam untuk mengamalkan gaya hidup hijau ke arah menjadi komuniti bebas sampah dan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi kategori Kesihatan dan Kesejahteraan (3), Bandar dan Masyarakat Mampan (11) serta Kerjasama demi Matlamat (17) dalam memastikan kelestarian alam sekitar yang berterusan untuk menjamin kemampanan generasi akan datang.

Buat masa ini, mereka menggunakan Facebook mereka iaitu Freecycle Kuantan yang mempunyai 31,057 ahli untuk tujuan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

Program Kitar Semula pada tahun ini adalah hasil kolaborasi IKC EPMC bersama Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuantan, Lifeline Clothing Malaysia, SWCorp Malaysia, Daya
Bersih Sdn Bhd (DBSB), Sally Global Enterprise, Alam Flora Sdn Bhd, Polis Bantuan UIAM, Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dengan tajaan IIUM Trust Fund,
Nestle, McDonalds, Mat Rock Kuantan, Avantcom International Sdn. Bhd. dan Aqqad Enterprise.

Acara ini turut mendapat bantuan sukarelawan dalam kalangan kakitangan dan Persatuan Pelajar Perubatan dan Bioteknologi (MEDSS dan Xanthus), dan pelbagai agensi bukan kerajaan (NGO) dan
berbilang kaum sekitar Kuantan seperti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Malaysian Nature Society Pahang, Kelab Lions Indera Mahkota, Pertubuhan Komuniti Intervensi Dadah
Malaysia (KOMITED), termasuk orang awam di sekitar Pahang.

Dengan mendapat kerjasama pelbagai agensi serta masyarakat berbilang kaum, program ini sekali gus menyokong matlamat negara untuk menjadikan Malaysia ke arah masyarakat madani dengan amalan tekad perpaduan, penuhi harapan bersempena tema Hari Kebangsaan yang ke-66. – MalaysiaGazette