Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Seroja, Bukit Sentosa Rawang pada Ahad lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, ketika kejadian pada 12.30 tengah hari itu, suspek yang meluru masuk ke kedai milik mangsa memecahkan mesin juruwang dan melarikan wang tunai lebih kurang RM300.

Suspek turut melarikan dua telefon bimbit milik mangsa.

“Suspek kemudiannya telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta hitam,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Asri, mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM3,800 akibat kejadian tersebut.

“Dalam kes ini pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil membantu siasatan.

“Polis meminta orang ramai khususnya untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini sekiranya ada bagi tujuan membantu siasatan serta menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam,” jelasnya.- MalaysiaGazette