Dr. Mohd. Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kejayaan membawa keluar keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Gaza tanda keprihatinan tinggi Perdana Menteri terhadap rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kejayaan tersebut juga tanda kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Anwar yang cukup dihormati dunia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesungguhan YAB Perdana Menteri sehingga berjaya menyatukan keluarga Saudara Nadir Al-Nuri, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia.

“Kejayaan ini telah menzahirkan keprihatinan tinggi YAB Perdana Menteri kepada soal kebajikan rakyat selain daya kebijaksanaan kepimpinan beliau yang cukup dihormati dunia sehingga misi besar menyatukan keluarga saudara Nadir Al-Nuri yang sebelum ini berada di Palestin telah terlaksana dengan jayanya,” kata Mohd. Na’m.

Sementara itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk terus bersama-sama dengan perdana menteri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan menuntut keamanan dan kesejahteraan negara Palestin.

“Marilah bersama-sama dengan keberkatan bulan Syawal ini, kita memperkukuh kesatuan dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala agar dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan buat rakyat Palestin,” katanya dalam dalam kenyataan.

Muhammad Nadir semalam mendedahkan, Anwar merupakan watak utama dalam ‘misi gila’ membawa keluarganya keluar dari Gaza.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, kisah bermula apabila beliau sempat maklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Beliau kemudian di hubungi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dan akhirnya disatukan dengan keluarganya.

Ujar Muhammad Nadir, proses membawa pulang keluarganya itu cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat, namun tidak semua beliau berhak untuk kongsikan.

“Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk mengeluarkan keluarga saat bedilan roket serta hentaman bom bertali-arus malah ketegangan di sempadan berlanjutan.

Bagaimanapun, secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” kongsinya.

Sejak perang meletus 7 Oktober tahun lalu Israel telah membunuh lebih 33,000 penduduk di Gaza dan memusnahkan rumah serta infrastruktur awam termasuk hospital dan pusat pendidikan.-MalaysiaGazette