Sidang Media bersama Profesor Adjung Universiti Malaysia, Datuk Sabirin Ja'afar mengenai Pelanggaran Seksyen 124 Kanun Keseksaan Oleh Ketua Penerangan Parti Bersatu di Plaza 138, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 17 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Tindakan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuat kenyataan mengugut Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong parti musuh disifatkan sebagai menyalahi undang-undang.

Ini termasuklah kenyataan Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangannya Datuk Razali Idris terhadap enam ahlinya juga Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri baru-baru ini.

Demikian menurut Profesor Adjung University Malaya (UM), Datuk Dr. Sabirin Ja’afar.

“Setelah Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 3 April lalu, Ketua Penerangan Bersatu menyatakan surat-surat akan dihantar kepada enam ahli Parlimen Bersatu oleh Setiausaha Agung dan jika mereka tetap menyokong PMX, keahlian mereka akan tergugur secara automatik.

“Pada 5 April lalu, Presiden Bersatu mengugut tindakan akan diambil terhadap enam ahli Parlimen Bersatu selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Jelas Sabirin, tindakan sedemikian melanggari Seksyen 124, 24B dan 124C Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang dikeluarkan merupakan cubaan mendorong atau memaksa keenam-enam ahli Parlimen supaya menahan diri daripada menjalankan dengan apa-apa cara kuasa-kuasa yang sah sebagai wakil rakyat.

“Ahli Parlimen yang dilantik dan dipilih rakyat mempunyai keistimewaan yang tertentu termasuk mempunyai kebebasan untuk bercakap, menyatakan hujah, menyokong atau membantah dalam Dewan Rakyat.

“Tanggungjawab ini adalah amanah besar dan satu jawatan penting dalam demokrasi berparlimen,” katanya lagi.

Sehubungan itu Sabirin yang juga merupakan mantan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar melanjalankan siasatan terhadap parti itu sekiranya terdapat laporan yang dibuat.

Sebagai rekod 2 April yang lalu dilaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, langkah seterusnya ialah mengosongkan kerusi mereka untuk pilihan raya kecil (PRK) peringkat Parlimen.

Terdahulu Bersatu meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).-MalaysiaGazette