Kumar pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Dua anggota polis yang dikaitkan dengan dua kes peras ugut di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini baru-baru ini akan diambil tindakan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya akan mengemukakan surat ke Bukit Aman dalam usaha mendapatkan perintah tahan kerja terhadap dua anggota polis terbabit.

“Perintah tahan kerja itu dikenakan kepada kedua-dua anggota polis berkenaan sehinggalah siasatan selengkapnya dijalankan dan perkara itu diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan tahan kerja bagaimanapun kita perlu dapatkan arahan daripada pihak Bukit Aman terlebih dahulu,” katanya pada sidang media sempena majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

Menurut Kumar, ketika ini kedua-dua anggota polis masih dalam tahanan reman untuk kita lengkapkan siasatan.

Dalam majlis berkenaan, bekas pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Ibrahim Mat Som menyerahkan tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri yang baharu, Asisten Komisioner M. Kumarasan.

Pada 5 April lalu, dua anggota polis yang bertugas di BSI ditahan kerana dikatakan melakukan pemerasan dengan meminta RM2,000 daripada orang awam yang tidak mahu dikenakan tindakan kerana mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kedua-dua anggota tersebut turut ditahan kelmarin atas perbuatan sama terhadap mangsa berusia 50 tahun.

Beliau juga meminta orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis terlibat dalam aktiviti pemerasan.

Polis Johor tidak akan berkompromi berhubung isu integriti membabitkan anggota dan pegawai mereka. – MalaysiaGazette